DAURAH FIQH WANITA BERSAMA PERTUBUHAN IBU TUNGGAL ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

16 OGOS 2025 | 11 SAFAR 1447H

Program Daurah Fiqh Wanita anjuran Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan IKRAM Kuala Lumpur telah berjaya dilaksanakan bermula dari bulan April hingga Ogos 2025. Program berbentuk kelas pengajian hujung minggu yang diadakan di Pusat Komuniti Gombak telah menerima penyertaan daripada 60 orang ibu tunggal daripada Pertubuhan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan. Sepanjang penganjuran, para peserta menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam mengikuti setiap sesi yang dirangka khusus untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap isu-isu fiqh wanita serta aspek kekeluargaan menurut perspektif Islam.

Antara barisan penceramah yang telah menyumbangkan ilmu sepanjang program ini ialah YBrs. Dr. Sofiah binti Samsudin, Penolong Profesor di Jabatan Pengajian Quran dan Sunnah, UIAM yang telah mengupaskan dua tajuk utama iaitu Pemantapan Akidah Menurut Perspektif al-Quran dan Kekeluargaan dalam Islam. Kedua-dua topik ini memberi fokus kepada pengukuhan asas keimanan serta pemahaman terhadap peranan dan tanggungjawab dalam institusi keluarga menurut panduan al-Quran. Seterusnya, turut diundang bagi siri kelas pengajian ialah YBrs. Dr. Fatimah binti Muhammad, Pensyarah di Jabatan al-Quran & Sunnah, UIAM dengan tajuk kupasan berkaitan Pemantapan Akidah Menurut Perspektif Hadith sekaligus menjadi pelengkap kepada pemahaman akidah berasaskan sumber-sumber utama Islam.

Turut berkongsi ilmu ialah YBrs. Dr. Engku Rabiah Adawiah binti Engku Ali. Beliau telah membincangkan topik Fiqh Muamalat yang merangkumi aspek-aspek penting berkaitan urus niaga dan kewangan menurut perspektif Islam. Perkongsian ini membuka ruang kepada para peserta untuk lebih memahami secara lebih mendalam tentang urusan jual beli dan muamalat dalam Islam. Siri kuliah terakhir bersama YBrs. Prof Madya Dr. Normi binti Abdul Malek, Pensyarah di Jabatan Undang-undang Islam, Kuliyyah Undang-undang, UIAM. Dalam sesi ini, para peserta didedahkan secara komprehensif berkenaan Fiqh Perkahwinan, Penceraian dan Penjagaan Anak. Perbincangan merangkumi hak-hak isteri, prosedur perceraian, penjagaan anak pasca penceraian serta pembahagian harta, yang merupakan isu-isu penting dalam kekeluargaan. Penerangan yang diberikan membantu para peserta untuk memahami dengan lebih jelas tentang hak mereka serta peruntukan undang-undang yang tersedia dalam Islam.

Diharapkan agar segala ilmu yang telah dikongsikan sepanjang program ini menjadi panduan berguna buat para peserta, seterusnya memperkukuh keyakinan dan keteguhan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian dengan berpaksikan ilmu dan kefahaman yang sahih.

Disediakan oleh
Cawangan Hadhari & Kefahaman Islam
Bahagian Pengurusan Dakwah

Main Poster
Categories: Uncategorized